Pages

Ads 468x60px

Tuesday, 6 November 2012

kisah mak ayah !



bismillahirrahmanirrahim......

terkesima seketika apabila terdengar perbualan ayah dengan jiran sebelah rumah.. saat itu ana sedang membantu emak mengaut lidi untuk dibuat penyapu.. tiba-tiba jiran sebelah,cik Ton yang berumur dalam lingkungan hampir 70 tahun,, setapak demi setapak dia melangkah sambil memegang alat untuk memudahkan dia berjalan.. simpatiku bertandang.. makcik tu sakit kaki, berdiri boleh tapi tak boleh jalan, sebab tu nak jalan kena ada alat tu (tak tau apa benda namanya tu)..

kehadiran cik Ton itu membuatkan ana serba salah.. yelah, dekat situ cuma ada mak, ayah ngan ana je.. bak kata orang, tak manis orang muda dengar perbualan orang tua.. tapi,, lidi mak macammana? kalau tak tolong lambat siapnya.. melihatkan cik Ton seolah-olah nak duduk berborak, ana ambilkan kerusi.. terkial-kial dia nak duduk,, simpatiku bertandang lagi.. lepas tidurkan anak saudara, ana terus sambung semula kerja mengaut lidi..


"macam ni lah kita Nap (ayah), dah tua-tua ni. tapi mak aku tu sihat lagi", ujar cik Ton..

"itulah, beza orang tua zaman dulu dengan orang tua zaman sekarang. umur dah 80 tahun pun sihat lagi, boleh berjalan. tak macam aku ni nak solat pun solat duduk. kaki aku ni sakit kak Ton," balas ayah..

memang tak dinafikan kaki ayah semakin teruk.. dah tak berapa nak kuat.. bila datang rumah orang, ayah tak boleh bersila dekat atas lantai, mesti kena ada kerusi.. tapi ana kagum dengan semangat ayah, setiap kali solat 5 waktu, ayah tak pernah miss solat di masjid walaupun terpaksa mengusung kerusi mini.. mujurlah masjid tu dekat je.. ayah jugak tak boleh menggenggam sesuatu dengan kuat.. haritu ayah nak angkat beg tapi terlepas.. kata ayah tangannya sakit nak genggam.. lalu ana pun ambillah beg tu bawa masuk.. kesian ayah.. 

yang paling merisaukan ana, bila ana bercuti ada dekat rumah, nampak ayah sihat je.. tapi, bila time dah balik semula ke UIA, kakteh bagitau ayah demam panas, mata merah sampai tak boleh buka, tersedu-sedu seminggu tak berhenti.. berita ni membuatkan ana tak senang duduk, hati gelisah, namun ketika itu ana hamparkan sepenuh pengharapan kepada Allah, mohon pertolongan agar ayah sembuh.. kebetulan pula time ayah sakit, mesti ana demam.. ada chemistry yang kuat antara anak n ayah.. :) ana sendiri pelik, semenjak masuk UIA, ana semakin kerap demam sedangkan sebelum ni nak demam pun payah.. kadang-kadang setahun dua tiga kali je.. takpelah, fikir positif, mungkin ana tak biasa tidur lewat.. bila ana demam, mak telefon, teringin sangat nak bagitau yang anak mak ni demam, tapi mak terlebih dahulu mencelah memberitahu ayah sakit.. hati ana bertambah sedih.. demi memikirkan perasaan mak, ayah dan keluarga ana pendamkan, taknak bagi mereka risau.. lagipun ada sahabat-sahabat yang membantu menjaga ana di sini.. kesabaran sahabat tersayang hanya Allah saja yang mampu balas.. bila mak tanya kenapa suara lain? ana jawablah yang ana sakit tekak.. tapi, naluri seorang emak ni tau anaknya tak sihat.. mak bagitau abang pulak.. tak lama lepas tu mesti abang akan telefon.. kalau tak sihat abang hantar pergi klinik.. tapi, ana menolak dengan baik, ana okay just perlu rehat secukup-cukupnya..

ujian Allah semakin hebat melanda ketika ana hampir menghadapi final exam.. dalam kelas, tiba-tiba kakteh hantar mesej bagitau ayah tersedu-sedu seminggu tak berhenti sampaikan lidah ayah ke dalam, tak boleh bercakap.. tapi kenapa mak tak bagitau bila ana call? kakteh kata mak taknak bagi adik risau,, adik kan nak exam.. rupa-rupanya ayah dah seminggu sakit tanpa pengetahuanku.. abang-abang ana semua balik minggu tu sebab nak melawat ayah tapi ana takde rezeki nak ikut balik.. balik je dari kelas, ana terus solat asar, menangis sepuas-puasnya.. hanya kepada Allah ana mengadu.. hampir setengah jam juga ana di musolla, meredakan perasaan dan bila dah betul-betul boleh senyum, baru ana balik bilik.. bukannya apa,, ana taknak roommate tau.. alhamdulilllah, tak lama kemudian mak bagitau ayah dah okay ! syukur..:)

berbalik kepada kisah perbualan ayah dengan cik Ton tadi......

"kak Ton, pada pendapat akak lah, akak setuju tak kalau kita ni dihantar di rumah orang tua? " soal ayah..

hatiku tersentak.. ana merenung ayah.. kenapa ayah tanya soalan ni? namun, ana ternanti-nanti jawapan mereka..

"tak taulah tapi dah kalau anak-anak tak sanggup nak jaga, aku rela," balas cik Ton.

"bagi akulah, aku setuju kalau aku sendiri dihantar ke rumah orang tua. yelah, sekurang-kurangnya, bila nak solat ada orang ingatkan, ada kawan-kawan, kebajikan dijaga. kalau aku kat rumah, buatnya aku terjatuh, sapa nak tengokkan? kalau aku nak solat siapa nak ingatkan? terutamanya macam aku ni dah tak larat, bila kat sana ada orang jugak orang tolong ambilkan wuduk," kata ayah.

ayah sambung lagi...

"anak-anak ni entah sanggup atau tak jaga kita. tambah-tambah lagi kalau dah nyanyuk. memang betul kata orang, seorang mak atau ayah mampu jaga sepuluh orang anak, tapi seorang anak belum tentu sanggup nak jaga seorang mak atau ayah," 

ana terkedu.. memang betul cakap ayah.. realiti sekarang ramai anak-anak sudah lupa diri, sudah lupa jasa dan pengorbanan mak ayah dari kita kecik ! apa guna belajar sampai PhD, kerja besar, hidup mewah tapi abaikan kebajikan mak ayah. dikira anak derhaka tau ! nauzubillah.. 

bila ayah dah cakap macam tu, jauh di sudut hati ana ayah mesti nak sampaikan pesanan mengenai hal ini kepada anak-anak. kebetulan ana seorang yang ada kat situ, sekurang-kurangnya ana tau ayah perlukan perhatian. kadang-kadang mak ayah cakap je sanggup duduk rumah orang tua tapi di hati mereka sangat mengharapkan kita untuk menjaganya.. 

ya Allah, berikan kami adik beradik kesempatan untuk menabur bakti kepada mak dan ayah. berikan kami kekuatan dan ketabahan untuk menjaga mereka.. tetapkanlah keimanan kami, kukuhkan mawaddah antara kami agar kasih sayang ini kekal hingga ke JANNAH... 

berharap sangat ana diberi kekuatan dan kesempatan untuk menjaga mak ayah, moga Allah permudahkan.. aamiin...... begitu juga dengan kami 5 beradik..... insyaAllah...

wajah kesayangan, mak ayah.. tiada sesiapa dapat menggantikan mereka , selamanya terbaik..
sayang mak ayah <3
mmmmuuuaahhhh !!!!


(sayangilah mak ayah, pengorbanan mereka terlalu besar, moga kita semua mampu menjaga mereka, jadi anak yang soleh dan solehah.. sesungguhnya keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa.. )

wallahu a'lam.....




RABIATUL ADAWIYAH -PERINDU CINTA ILAHI



Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.

Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali.


Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.

Bapa Rabi’ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.

Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.
Marilah kita teliti ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:

“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!
“Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.
“Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.
“Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”

Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:

“Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”

Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:

“Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”

Seperkara menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:

“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”

Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.

Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:

“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”

Antara syairnya yang masyhur berbunyi:

“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun, 
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun, 
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun, 
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”


Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:

“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”

Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.

“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”

Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!

Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”

Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:

“Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.”

Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.

Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.

Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.



antara kisah-kisah menarik mengenai RABIATUL ADAWIYAH :

KISAH 1

Suatu malam yang sunyi sepi, di kala masyarakat sedang khusyuk tidur, seorang pencuri telah menceroboh masuk ke dalam pondok Rabi'atul Adawiyah. Namun setelah menyelongkar sekeliling berkali-kali, dia tidak menemui sebarang benda berharga kecuali sebuah kendi untuk kegunaan berwuduk, itupun telah buruk. Lantas si
pencuri tergesa-gesa untuk keluar dari pondok
tersebut.

Tiba-tiba Rabi'atul Adawiyah menegur si pencuri
tersebut, "Hei, jangan keluar sebelum kamu mengambil
sesuatu dari rumahku ini."

Si pencuri tersebut terperanjat kerana dia menyangka
tiada penghuni di pondok tersebut. Dia juga berasa
hairan kerana baru kini dia menemui tuan rumah yang
begitu baik hati seperti Rabi'tul Adawiyah.
Kebiasaannya tuan rumah pasti akan menjerit meminta
tolong apabila ada pencuri memasuki rumahnya, namun
lain pula yang berlaku.

"Sila ambil sesuatu." kata Rabiatul Adawiyah lagi
kepada pencuri tersebut.

"Tiada apa-apa yang boleh aku ambil daripada rumah mu
ini." kata si pencuri berterus-terang.

"Ambillah itu!" kata Rabi'atul Adawiyah sambil
menunjuk pada kendi yang buruk tadi.

"Ini hanyalah sebuah kendi buruk yang tidak berharga."
Jawab si pencuri.

"Ambil kendi itu dan bawa ke bilik air. Kemudian kamu
ambil wudhu' menggunakan kendi itu. Selepas itu
solatlah 2 rakaat. Dengan demikian, engkau telah
mengambil sesuatu yang sangat berharga daripada pondok
burukku ini." Balas Rabi'tul Adawiyah.

Mendengar kata-kata itu, si pencuri tadi berasa
gementar. Hatinya yang selama ini keras, menjadi
lembut seperti terpukau dengan kata-kata Rabi'tul
Adawiyah itu. Lantas si pencuri mencapai kendi buruk
itu dan dibawa ke bilik air, lalu berwudhu'
menggunakannya.. Kemudian dia menunaikan solat 2
rakaat. Ternyata dia merasakan suatu kemanisan dan
kelazatan dalam jiwanya yang tak pernah dirasa sebelum
ini.

Rabi'atul Adawiyah lantas berdoa, "Ya Allah, pencuri
ini telah menceroboh masuk ke rumahku. Akan tetapi dia
tidak menemui sebarang benda berharga untuk dicuri.
Kemudian aku suruh dia berdiri dihadapan-Mu. Oleh itu
janganlah Engkau halang dia daripada memperolehi
nikmat dan rahmat-Mu."

KISAH 2

Pada suatu hari, sekumpulan golongan cerdik pandai
telah datang ke rumah Rabi'atul Adawiyah. Tujuan
mereka tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menguji
beliau dengan pelbagai persoalan. Malah mereka telah
bersedia dengan satu persoalan yang menarik. Mereka
menaruh keyakinan yang tinggi, kerana selama ini
Rabi'atul Adawiyah tidak pernah ketandusan hujah.

"Wahai Rabi'atul Adawiyah, semua bentuk kebajikan
yang tinggi-tinggi telah dianugerahkan oleh Allah
kepada kaum lelaki, namun tidak kepada kaum wanita."
Ketua rombongan itu memulakan bicara.

"Buktinya?" Balas Rabi'atul Adawiyah.

"Buktinya ialah, mahkota kenabian dan Rasul telah
dianugerahkan kepada kaum lelaki.Malah mahkota
kebangsawanan juga dikurniakan kepada kaum lelaki.
Paling penting, tidak ada seorang wanita pun yang
telah diangkat menjadi Nabi atau Rasul, malah semuanya dari golongan lelaki." Jawab mereka pula dengan yakin.

"Memang betul pendapat tuan-tuan sekalian. Akan
tetapi harus diingat bahawa sejahat-jahat pangkat ada
pada kaum lelaki juga. Siapa yang mengagung-agungkan diri sendiri? Siapa yang begitu berani mendakwa dirinya sebagai Tuhan? Dan siapa pula yang berkata :
"Bukankah aku ni tuhanmu yang mulia?" Dengan tenang, Rabi'atul Adawiyah membalas hujah mereka sambil merujuk kepada Firaun dan Namrud.

Kemudian Rabi'atul Adawiyah menambah lagi, "Anggapan dan ucapan seperti itu tidak pernah keluar dari mulut seorang wanita. Malah semuanya ditimpakan kepada kaum lelaki."

~serikandi Islam~ 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...