Pages

Ads 468x60px

Sunday, 3 May 2015

JAGA HATI



Tidak perlu kau memiliki wajah setampan Nabi Yusuf, juga harta seluas perbendaharaan Nabi Sulaiman, atau kekuasaan seluas kerajaan Nabi Muhammad, yang mampu mendebarkan hati juataan gadis untuk membuat aku terpikat.

Andainya engkaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti akan menanamkan rasa kasih dalam hatiku juga hatimu. Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan dibazirkan perasaan itu kerana kita masih tidak mempunyai hak untuk begitu.

Juga jangan melampaui batas yang telah Allah tetapkan. Aku takut perbuatan-perbuatan seperti itu akan memberi kesan yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak.

Permintaanku tidak banyak. Cukuplah engkau menyerahkan seluruh dirimu pada mencari redha Ilahi. Aku akan merasa amat bernilai andai dapat menjadi tiang penyangga ataupun sandaran perjuanganmu.

Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi sekiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, mengulurkan tanganku untukmu berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu.

Cukuplah kamu mencintai Allah dengan sepenuh hatimu kerana dengan mencintai Allah, kamu akan mencintaiku kerana Nya. Cinta itu lebih abadi daripada cinta biasa.

Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.

Jagalah hati ♥

Thursday, 8 January 2015

UkhWaH SeiNdaH PeLaNgi

UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA

‘Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini,,,walau ku tahu kau tiada di sisi….’

Buku diari berwarna ungu itu ditutup. Setitis air mata jernih mula singgah di atas permukaan kulit buku itu. Pandangannya dihalakan jauh ketengah padang. Sekumpulan pelajar muslimat yang sedang lincah bermain bola jaring langsung tidak menarik perhatiannya. Mindanya hanya fokus kepada seseorang yang sangat dirindui. Makin lama air mata itu mula membasahi pipinya.

“assalamualaikum, Kinah tengah buat apa ni?” tegur Khaulah. Teguran Khaulah membuatkan Sakinah cepat-cepat menyeka air matanya.

“waalaikumussalam, Khaulah,” jawab Sakinah ringkas. Dasar di sudut hati Khaulah, dia tahu sahabatnya itu sedang menangis. Perlahan-lahan Khaulah melabuhkan punggungnya di sebelah Sakinah. Bahu Sakinah dipeluk erat lalu meraih tangannya. Erat genggaman itu.

“Kinah,ada apa-apa masalah enti yang ana tak tau?” soal Khaulah lembut. Jemari Sakinah diramas perlahan. Matanya melirik ke arah wajah Sakinah yang sudah kemerahan kesan daripada menangis. Sakinah mengukir senyuman.

“tak ada apa-apalah enti. Ana okey. Cuma semenjak ini ana selalu teringatkan seseorang yang telah tiada,” ujar Sakinah sebak lalu air matanya menitis lagi.

“banyak ingat Allah ye enti. Emm, ceritalah kepada ana. Kalau boleh ana nak berkongsi kesedihan enti,” pinta Khaulah sambil matanya merenung tepat ke arah anak mata Sakinah. Sakinah menarik nafas panjang. Dia berasa sangat terharu dengan kata-kata Khaulah. Beruntungnya aku memiliki sahabat seperti Khaulah ni,detik hati kecil Sakinah memuji sahabatnya.

Sakinah masih mendiamkan diri. Bibirnya sudah mula menguntum senyuman. Barangkali teringat nostalgia silam yang tak pernah luntur dalam memorinya. Seseorang yang begitu istimewa itu sentiasa tersemat kemas dalam hatinya. Walau ke mana sahaja dia melangkah, bayang-bayang ‘insan teristimewa’ itu sentiasa mengekorinya, ibarat matahari dan rembulan, biarpun tidak pernah hadir bersama, namun tetap membiaskan bayang-bayang di atas muka bumi ini. SubhanAllah. Luasnya hikmah ciptaan Allah.

“panjang ceritanya, Khaulah. Jika Allah tidak hadirkan dia dalam hidup ana, mesti ana bukanlah seperti Sakinah yang berada di hadapan enti sekarang,” ujar Sakinah. Mendengarkan itu, Khaulah semakin teruja untuk terus mendengar kisah hidup Sakinah. Maklumlah, mereka baru sahaja berkenal-kenalan tak sampai setahun. Sudah pastinya banyak kisah antara mereka yang masih tidak diketahui.

Senja sudah mula menampakkan dirinya. Sebentar lagi azan maghrib akan berkumandang. Keadaan padang yang tadinya gamat dengan suara kini sudah mula sunyi. Musolla mahallah Aisyah sudah mula berpenghuni. Kedengaran suara-suara indah sedang mengalunkan kalamullah, berzikir dan tak kurang juga ada yang membentuk halaqah kecil berbicara soal agama. SubhanAllah, indahnya hidup bertarbiyah seperti ini !
********************************

KAMPUNG DUSUN

                Pak samad sedang duduk di atas kerusi malas sambil menghisap rokok daun. Jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Ketika itu Sakinah baru sahaja sampai ke rumah. Dia membuka pintu dengan berhati-hati tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Awal-awal lagi Sakinah sudah memaklumkan kepada adiknya Najihah supaya tidak mengunci pintu. Kebiasaannya, pukul 10 malam pasti abahnya, Pak Samad dan ibunya, Mak Senah sudah tidur.

“kenapa lewat sangat angah balik? Dah pukul 2 pagi baru nampak jalan balik rumah ke?” pak Samad tiba-tiba bersuara. Nadanya agak sinis. Sakinah yang baru sahaja menutup pintu hampir terlompat dibuatnya dek sergahan mengejut pak Samad.

“err, angah jumpa kawan kejap tadi. Abah kenapa tak tidur lagi?” jantung Sakinah berdegup kencang tatkala melihat renungan mata abahnya yang agak tajam seolah-olah mahu menerkamnya bila-bila masa sahaja. Urat-urat hijau sudah mula timbul di dahi pak  Samad. Sedang menahan marah barangkali.

“dah lama angah buat kerja ni?” soal pak Samad. Dia bingkas bangun dari kerusi malasnya lalu menuju ke jendela. Papan jendela itu dikuak sedikit. Jelas terasa kedinginan angin nan pagi menyapa wajahnya yang telah dimamah usia itu.

“kerja apa bah? Apa yang angah dah buat? Angah tak fahamlah bah, “ wajahnya sedikit berkerut barangkali tidak faham apa yang ingin dimaksudkan oleh abahnya. Pak Samad memalingkan wajahnya ke arah Sakinah. Giginya diketap kuat.

“angah tanya abah balik apa yang angah dah buat? Orang kampung semua dah mengata pasal angah. Berkawan dengan mat rempit, ponteng kelas tambahan, sekarang dah pandai balik rumah lewat. Apa nak jadi dengan angah ni ha? “ wajah pak Samad garang. Pak Samad memang sangat terkenal dengan sikap panas barannya itu. Pantang kesabarannya diuji, habis semua orang disemburnya.

“alah, macamlah angah sorang je yang buat semua tu. Ramai lagi yang buat benda tu semua tapi mak ayah mereka tak kisah pun. Yang abah nak marah-marah angah ni kenapa? Dah la bah, angah dah mengantuk,” Sakinah pantas menjawab. Baru sahaja kakinya ingin melangkah ke bilik, tubuhnya pantas ditarik duduk di atas sofa. Kali ini kemarahan pak Samad tak dapat dibendung lagi.

“hei, angah jangan nak kurang ajar dengan abah. Abah belum habis cakap lagi dengan angah. Minggu depan abah akan hantar angah ke sekolah agama. Dan mulai esok, abah nak angah uruskan perpindahan sekolah, faham? “ ujar pak Samad tegas. Terbeliak mata Sakinah mendengarnya. Sekolah agama?

“kejap bah? Apa? Sekolah agama? Kenapa pulak angah kena pindah sekolah agama? Tak mungkin bah. Tak mungkin angah akan tinggalkan kawan-kawan angah, pelajaran angah semua. Angah tak nak ! “ Sakinah membentak keras. Sejujurnya dia sendiri tak pernah teringin nak bersekolah di sekolah agama.

“abah buat semua ni biar angah ni jadi orang. Lagipun, belajar di sekolah agama kan bagus?” kata pak Samad. Hati Sakinah sudah mula tidak tenteram. Sebolehnya dia tak nak masuk sekolah agama. Namun dia tahu tiada siapa yang berani membangkang keputusan abahnya.

“tengoklah dulu abah. Malas angah nak fikir pasal ni. Tapi tak bermakna angah akan dengar cakap abah. Ok lah angah dah mengantuk,” kaki Sakinah laju melangkah ke bilik barangkali tidak mahu melayan abahnya lagi.

 Pak Samad hanya mampu menggelengkan kepalanya. Antara keempat-empat orang anaknya, Sakinahlah yang paling degil dan keras hatinya. Sebab itulah pak Samad ingin menghantar Sakinah ke sekolah agama agar peribadinya berubah. Dia tidak mahu usia remaja Sakinah rosak.

********************************

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TANJUNG DUSUN

“kinah, kau ni kenapa? Semalam ok je aku tengok. Pelik juga aku tiba-tiba pagi tadi muka kau masam je,” tegur Suraya, kawan baik Sakinah.

Sakinah menarik wajah masam. Sungguh dia tiada mood pada hari itu. Semuanya gara-gara pak Samad yang memaksanya ke sekolah agama. Jika tidak diturutkan kehendak ayahnya, alamatnya telinganya akan cair mendengar bebelan yang tak henti. Namun, Sakinah tak suka belajar di sekolah agama, dia tidak mahu kehidupannya dikongkong. Aaaaaaarrrrggggghhh !! jeritan kecilnya itu jelas didengari oleh Suraya.

“Kinah, cuba kau cerita kat aku apa masalah kau sebenarnya ni?” soal Suraya. Dia menarik kerusi duduk di sebelah Sakinah. Sakinah meraup wajahnya. Perlahan-lahan dia memandang wajah Suraya yang bertentangan dengannya. Tidak semena-mena setitis air jernih mengalir di pipinya. Suraya dipeluknya erat.

“Suuu !! aku sayang kau,” akhirnya Sakinah tidak dapat membendung perasaan sedihnya. Di atas bahu Suraya dilepaskan segala rasa yang terbuku di hati. Suraya mengusap perlahan belakang Sakinah. Hatinya meronta-ronta ingin tahu mengapa Sakinah bersedih sedemikian rupa. Namun ditahan keinginannya dahulu. Dia berusaha menenangkan Sakinah. Selang beberapa minit, barulah Sakinah mengangkat wajahnya. Wajahnya yang cerah itu sudah kemerahan.

“Kinah kenapa? Kau ok tak ni?” soal Suraya. Sakinah menggenggam jemari Suraya erat.

“Su, minggu ni minggu terakhir aku sekolah kat sini. Sebab aku…aku…” betapa sukar Sakinah meluahkan rasa yang tak sanggup untuk dilafazkannya.

“sebab? Sebab apa kinah?” semangat ingin tahu Suraya melonjak kuat.

“aku…….akan sekolah kat tempat lain. Ayah aku akan hantar aku kat sekolah agama, Su. Kau tau kan aku tak nak ! aku tak nak !” jelas tertekan wajah Sakinah ketika itu. Terlopong mulut Suraya mendengarnya.

“hah? Kenapa kau tak tolak? Kau tau kan kita dah janji kita akan ambil SPM sama-sama. Lepas tu sambung pelajaran sama-sama ke Australia. Kinah ! dah lupa ke semua tu?”bagai nak pecah dada Suraya tatkala menerima berita buruk itu.

“aku nak tolak macam mana Su? Kau tau kan ayah aku tu panas baran. Aku dah malas nak bertekak lagi. Su, aku tak pernah lupa janji kita. Mana mungkin aku lupa Su. Sekarang ni aku dah buntu. Tak pernah terlintas kat fikiran aku apatah lagi dalam hati ni pasal sekolah agama.” Kedengaran sendu di penghujung kata-kata Sakinah. Lama mereka terdiam melayan perasaan masing-masing. Sedih, geram dan kecewa semuanya bercampur baur menjadi satu.

*******************************
SEKOLAH AGAMA TUAN HAJI HASSAN SAIL

Udara sungguh nyaman petang itu ditambah pula dengan tumbuhan yang menghijau sungguh mendamaikan bagi hati-hati yang mendambakan ketenangan. Sakinah sedang berehat di dalam dorm petang itu. Sudah seminggu dia berpindah ke sekolah agama dan sehingga ke hari itu hatinya tidak pernah bahagia. Dia lebih suka menyendiri daripada bercampur dengan pelajar lain. Begitu keras hatinya.

“assalamualaikum Sakinah. Awak tak nak jalan-jalan kat luar ke? Best tau bila dapat hirup udara segar,” lembut sapaan Izzah. Izzah salah seorang ahli dorm Sakinah, katilnya cuma terletak berhadapan dengan katil Sakinah. Sebenarnya Izzah dah lama memerhatikan tingkah laku Sakinah yang begitu dingin dengan orang lain semenjak dia berpindah ke situ. Bila diajak berbual, dia hanya diam. Bila diajak keluar, alasannya cuma satu iaitu tiada mood. Sehinggakan banyak mulut yang sudah mengata mengenai sikap Sakinah yang dianggap agak sombong itu. Namun Izzah tidak menganggapnya begitu, dia tahu ada sesuatu yang Sakinah cuba sembunyikan. Sebab itulah Izzah cuba mendekati Sakinah tanpa jemu.

Seperti biasa, Sakinah masih setia dengan sikap berdiam dirinya itu. Baginya, di situ bukanlah tempat yang bahagia untuknya. Adakalanya perasaan rindu yang membuak-buak terhadap Suraya dan temannya yang lain mengundang pedih di hatinya. Menitis air matanya bila mendengar suara orang bermain di padang, mendengar hilai tawa mereka telah mengundang nostalgia silam dalam memorinya. Sungguh dia rindu.

“Sakinah, awak dengar tak saya cakap apa tadi?” soal Izzah. Matanya redup memandang wajah Sakinah. Jelas wajahnya tampak begitu suram.

“aku dengar. Tapi aku takde mood nak keluar. Kau pergilah !” balas Sakinah.

“Sakinah, jom saya bawa awak jalan-jalan kat kolam ikan belakang blok A tu. Cantik tau. Rugi awak tak tengok. Melihat ciptaan Allah ni satu ibadah tau. Jom lah Sakinah. Please sekali ni je. Jom ya !” beriya-iya suara Izzah memujuk. Entah mengapa bagaikan ada perasaan yang menarik hatinya untuk ke tempat itu. Akhirnya Sakinah menganggukkan kepalanya tanda setuju. Hati Izzah berbunga riang.
Setibanya mereka tiba di kolam ikan itu, Sakinah amat teruja menyaksikan keindahan alam ciptaan Tuhan. subhanAllah. Terus dia meniti jambatan di atas kolam itu sambil tersenyum gembira. Melihat ikan yang berenang dan mendengar burung berkicauan, Allahuakbar ! sungguh mendamaikan.

“errr, Izzah, aku..ehh saya, sebenarnya nak tanya satu soalan ni, boleh?” Sakinah tidak tahu ingin membahasakan dirinya apa. Pertama kali Sakinah menunjukkan respon positif terhadap penghuni sekolah agama itu dan menyebabkan dia agak sedikit kekok. Gaya pakaian Izzah persis seorang ustazah, perwatakannya lembut dan kata-katanya sungguh indah didengar. Adakalanya Sakinah berasa tidak layak untuk berdamping dengan orang sebaik itu.

Izzah melemparkan senyuman kepada Sakinah. Ikhlas.

“ya, apa dia?”

“kenapa awak nak berkawan dengan saya? Ye la, orang semua kata saya sombong. Tapi awak masih nak berkawan dengan saya,”

“Sakinah, biarlah seribu orang yang kata awak macam tu, saya takkan anggap awak seperti yang mereka katakan. Saya tahu, awak masih tak biasa dengan suasana kat sekolah agama ni. Saya tak nak awak fikir budak sekolah agama ni hanya nak berkawan dengan orang yang baik-baik je. Sedangkan setiap muslim itu bersaudara,”

“awak ni terlalu baik Izzah. Saya nak sangat jadi macam awak tapi saya ni terlalu banyak kekurangan. Saya ni tak layak,”

“ Sakinah, awak jangan cakap macam tu. Kalau semua orang kata diri mereka tak layak nescaya takkan ada dakwah atas muka bumi ni. Dalam surah ar Ra’d ayat 11, Allah berfirman ‘sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri’. Semuanya terpulang pada diri dan niat awak Sakinah. Jika benar-benar awak ingin berubah, mohonlah pertolongan dan kekuatan dari Allah, Dia pasti akan membantu,”

Allah does not judge you on how bad you have been in the past,
But rather on how good you strive to be now….

Kata-kata terakhir yang terlafaz dari mulut Izzah bagaikan menusuk tangkai hatinya. Hatinya sungguh damai dan tenang setenang maksud namanya yang indah iaitu Nur Sakinah (cahaya ketenangan).

**************************

Hari demi hari, minggu berganti minggu berlalu begitu pantas bagaikan roda yang ligat berputar laju. Hampir setahun Sakinah bersekolah di sekolah agama Tuan Haji Hassan Sail. Jalinan ukhwah yang dibina bersama pelajar sekolah agama itu semakin bertaut erat terutamanya sahabatnya Izzah. Sahabat yang sentiasa setia memberikan kata-kata sokongan dan semangat tanpa jemu.

“Sebaik baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)

‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..’

**************************

Pagi itu cuaca mendung menunjukkan tanda-tanda hujan bakal turun. Sedari tadi Sakinah tidak nampak kelibat Izzah. Usai solat Subuh pagi tadi, kata Izzah dia ingin berehat di musolla. Wajahnya sungguh pucat sejak tiga hari yang lalu. Sakinah agak risau dengan kesihatan Izzah yang tidak menentu. Katanya cuma demam. Tambahan pula pagi itu Sakinah ada peperiksaan, Izzah tidak mahu menyusahkan Sakinah. Kertas peperiksaan Izzah sudah berlalu semalam. Ini bermakna mereka bakal meninggalkan Sekolah Agama Tuan Haji Hassan Sail dan selepas ini mereka akan membawa haluan masing-masing dengan takdirNya.

‘Alhamdulillah, syukur. Moga natijahnya baik sahaja seiring dengan doa dan usahaku’ doa Sakinah dalam hati.

Terbayang-bayang di matanya wajah Izzah yang menantinya selesai daripada menduduki peperiksaan. Tidak sabar hatinya ingin bertemu dengan sahabat yang amat disayangi kerana Allah. Hanya kalimah syukur yang terbit di bibirnya atas kurniaan yang tiada nilainya iaitu SAHABAT SEJATI. Alhamdulillah, terima kasih ya Allah atas kesempatan ini, bisiknya di dalam hati.

Bagaikan mencari sebiji benih, terselit dalam semak berduri
Begitulah mencari SAHABAT SEJATI
Andai sudah engkau temui
SAYANGILAH dirinya sepenuh HATI
Dan suburilah ia dengan hati yang IKHLAS dalam diri
Agar dirimu juga menemui cinta ILAHI

Setibanya Sakinah di dalam dorm, dia melihat Izzah sedang tidur. Pelik juga kerana Izzah tak pernah tidur pukul sepuluh pagi. Biasanya waktu sebegini Izzah sudah berada di musolla untuk menunaikan solat dhuha. Perlahan-lahan sakinah menghampiri katil Izzah, wajah lembut itu direnung. Wajahnya kepenatan, tidak sampai hati pula Sakinah inginmengejutkannya. Akhirnya, Sakinah membiarkan Izzah tidur, lalu dia berlalu ke arah katilnya pula.

“sakinah…..sakinah…….” terdengar suara perlahan memangil namanya. Sakinah membuka matanya. Entah bila dia terlelap pun dia tidak sedar. Jam sudah menunjukkan 12 tengah hari. Cuaca masih mendung, gerimis halus sudah mula membasahi hamparan bumi Allah.

“sakinah, saya sayang awak !” ujar Izzah namun wajahnya muram.

“ya saya pun sayang awak jugak Izzah. Sayang sangat-sangat tapi kenapa awak sedih ni? Sedih nak berpisah dengan saya ya !” ujar Sakinah bergurau. Izzah tersenyum kelat. Melihatkan mendung di wajah Izzah, Sakinah serba salah. Barangkali tutur katanya mengundang luka di hati Izzah.

“Izzah, maafkan saya. Saya bergurau je. Tapi kenapa awak sedih ni?”

“ Sakinah, memang kita akan berpisah pun. Saya akan pergi jauh lepas ni. saya sedih nak tinggalkan awak. Saya harap awak terus kuat meneruskan perjuangan walau tanpa saya di sisi,” kolam air mata Izzah sudah mula pecah.

Bayang-bayang Izzah berlalu pergi semakin lama semakin samar. Sakinah menjerit nama Izzah sekuat hati namun Izzah seolah-olah tidak mendengar.

“ Izzzaaaahhhhh !!!!! tunggu sayaaaa !!! “ jerit Sakinah. Nafasnya tercungap-cungap. Dahinya berpeluh-peluh. Rupa-rupanya tadi dia bermimpi. Dilihatnya katil Izzah sudah kosong. Di manakah Izzah? Tiba-tiba, sekumpulan pelajar ramai-ramai masuk ke dalam dorm Sakinah sambil mengangkat seseorang. Ya Allah ! Izzah ! apa dah jadi? Sekujur jasad yang begitu lemah. Wajah yang pucat, sekiranya wajah itu ditoreh pasti tiada darah yang keluar. Dengan pantas Sakinah menerpa ke arah Izzah. Kepala Izzah dipangku. Telinganya dirapatkan di dada Izzah, tiada degupan jantung yang berbunyi lagi. Ingin Sakinah berteriak biarlah ini mimpi seperti tadi. Namun sayang sekali. Sekarang Izzah benar-benar telah pergi meninggalkannya. Pergi jauh sekali meninggalkan dia sendiri. Menemui si pemilikNya iaitu Allah, cintanya yang abadi. Andai itu takdirNya, Sakinah redha menerima hakikat ini.

Ku lakar isi hatiku dengan air mata
Ku lakari ia pada langit kehambaan
Tiada kata yang dapat ku lafazkan 
Hanya titis air mata bicara segalanya
Kesatlah air matamu
biarkan ia pergi
redha apa yang akan tiba 
berita yang boleh meruntuhkan perasaan jiwamu

***********************************

NUKILAN UNTUK TEMAN…

saat pertama kali kita bertentang mata
tak pernah ku sangka 
terbitnya satu perasaan indah
yang sedang membuai-buai
sambil bernyanyi riang
dari corong dasar hatiku ini....

anehnya perasaan itu
tanpa perlu menunggu lama untuk menempatkanmu di singgahsana hatiku ini...
seingatku pada awalnya
kita saling menghulurkan tangan menyambut salam ukhwah
saat itulah turut mengalirnya perasaan itu...
laju,, seperti air jeram yang mengalir deras.....
terus menuju ke lembah hatiku ini..

sahabat !
sejak permulaan kita bertemu
tak henti-henti aku melafazkan kalimah syukur
tak tahu bagaimana lagi inginku gambarkan
perasaan yang sebenar-benarnya telah bertandang...
namun sekarang ini ku masih tertanya-tanya,
setelah kita dipertemukan,, kenapa mesti wujudnya perpisahan?

sungguh ku tak mahu lagi mendengar lagi perkataan 'perpisahan' itu..
ia satu keadaan yang amat memeritkan,
dari kecil sehingga kini perkataan itu tetap sebati dalam kamus hidupku..
setelah ku bertemu dengan insan yang ku sayang,
usia kebersamaan itu tidak lama...
kerap jua air mata ini menangisi,
suratan hidup menerima hakikat manusia itu datang dan pergi,
sampai bilakah harusku hadapi?

namun hadirnya tarbiyah Allah itu tanpa diduga,
dengan lembut Dia memujukku,
dengan lembut Dia menenangkanku...

ketika Allah memisahkanku dengan teman yang ku sayang,
Dia tidak pernah lupa untuk menghadirkan insan yang lebih baik daripada itu,
itu janjiNya....
setiap kali perginya teman itu, Dia berbisik kepadaku,
sesungguhnya itu bukanlah perpisahan tapi hanyalah jarak...
buktinya saat ini ku tak pernah merasakan amat jauh dengan teman-teman,
bahkan ku semakin dekat, semakin dekat seolah-olah mereka turut berada di sisiku, sedang merenung mataku yang kian sarat menanggung rindu...
malah seakan-akan sedang bersama denganku tika suka dan duka..
ajaibnya,, bagaimanakah itu?

sayangku,
itulah namanya takdir,rahmat dan hikmah sebuah ukhuwah,
tidak dipinta wang berjuta, intan permata untuk memilikinya,
tapi cukuplah sekadar memilikinya dengan cinta dan kasih sayang..
demi merebut cintaNya,
selangkah demi selangkah kita menapak.
adakalanya ku tersungkur jatuh di perjalanan, namun engkaulah yang membangunkanku,
lantas genggaman tangan dieratkan kembali, seerat simpulan tali..
seolah-olah tidak mahu antara kita yang tak mampu bangkit semula nanti..

kini ku cekalkan hati,
yang patah bertumbuh dan yang hilang berganti,
setiap yang pergi ada tanggungjawab yang menanti,
setiap yang datang meraih janji,
yaa,, sebuah janji,
iaitu berjanji untuk sama-sama mengiringi,
menuju ke jannah, negeri yang abadi !

ingatlah duhai teman !
setiap yang hadir itulah yang terbaik,
dan,,
kalian realiti di hadapanku kini,
satu masa nanti pasti ungkapan 'perpisahan' itu berulang kembali,
jangan bersedih temanku,
jangan pernah merasa jauh,
bukankah hati kita telah lama bertaut?
tautan hati yang kian utuh,
takkan pernah berjauhan bahkan sentiasa terpahat,
di (sila letakkan tangan di hatimu) !

-uhibbuki fillah-
Nur Nisaa’ Muizzah (Izzah)

Sakinah meletakkan tangan di hatinya. Bagaikan terngiang-ngiang suara dan kata-kata Izzah. Izzah bagaikan hidup di hatinya. Bingkisan warkah yang ditulis oleh Izzah disimpan kemas dalam diari ungu itu. Perlahan-lahan Sakinah bangun, menuruti langkah Khaulah. ‘Izzah sahabatku, tenanglah kau di sana. Moga kita bertemu lagi di jannah, negeri yang abadi. Tunggu saya !’ doa Sakinah sambil berlalu pergi.

Ukhwah ini umpama tasbih
Punya awal namun tiada akhirnya
Andai tasbih ini berhenti
Rasa cinta dan mahabbah di hati
Sentiasa membara di dalam diri
                                                               Yakin dan pasti...      
Sedikit masa nanti...
kita akan mengulangi tasbih ini kembali
Kerana cinta yang tertanam sentiasa bersemi
Kerana tasbih ini tautannya cinta Rabbi
Kerana kasih ini sentuhannya rahmat Ilahi..
Ketika uhkwah ini bertasbih
Cahaya petunjuk memancarkan seri
Dalam hidayah kasih bersemi
Bimbinglah diri agar tasbih ini kekal di hati
Jangan biar ia sunyi dan sepi
Bawalah diri mengingati Rabbi
Bawalah hati saling mencintai…



 Kasih-sayang sesama Islam (seaqidah)
Kata Imam Hasan al-Banna r.a. (1908-1949m) dalam Risalah Ta’alimnya : “Maksudku dengan ukhuwwah (kasih sayang dan persaudaraan) adalah: Hati-hati dan ruh terikat dengan ikatan akidah. Ikatan akidah adalah ikatan yang paling kukuh dan mahal. Persaudaraan sebenarnya adalah persaudaraan iman dan perpecahan itu adalah saudara kepada kekufuran. Kekuatan yang pertama kepada kita adalah kekuatan kesatuan, tidak ada kesatuan tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang paling rendah adalah berlapang dada dan yang paling tinggi ialah martabat `ithar’ (melebihkan saudaranya dari dirinya sendiri). Firman Allah s.w.t. : “dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang Yang berjaya.” (surah Al-Hasyr ayat 9).
seseorang yang benar dengan fikrahnya akan melihat saudaranya lebih utama untuk diberikan perhatian dari dirinya sendiri kerana kalaulah mereka tidak bersama dengannya pasti mereka akan bersama dengan selain darinya (orang lain). Mukmin dengan mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara satu sama lain. “Mukminin dan mukminat sebahagian mereka adalah pemimpin kepada sebahagian yang lain.” Inilah situasi yang perlu kita wujudkan.” Sebagaimana maksud Firman Allah SWT, "Pasti ditimpa kehinaan ke atas mereka (manusia) di mana sahaja mereka berada melainkan mereka yang mempunyai hubungan yang baik dengan Allah SWT dan manusia”. Surah al Imran, ayat :112




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...